Jumat, 05 September 2008

Dongeng Alam Barzakh

Lain agama lainlah kepercayaan tentang hidup sesudah mati. Namun begitu, tujuan karangan ini bukan untuk menghuraikan tiap-tiap kepercayaan tersebut tetapi hanya menyampaikan apa yang terkandung di dalam al-Qur'an mengenainya.

Tiga kata kunci dipilih dalam hal kematian, iaitu mati atau maut, barzakh, dan ketiga, roh. Ketiga-tiga kata itu tersenarai di halaman Kalimat Pilihan laman web e-bacaan.com ini.

Menurut al-Qur'an, mati adalah seperti tidur. Perkataan "mati", menurut Kamus Dewan, bermakna "tidak bernyawa lagi, tidak hidup lagi" sementara "tidur" adalah "dalam keadaan tidak sedar dengan mata terpejam".

Dalam kematian, nafs atau jiwa, dalam bahasa Melayu, adalah yang sebenarnya dimatikan. Jiwa dimatikan dalam kematian, dan juga semasa tidur. Firman Allah yang menjelaskannya berbunyi,

"Allah mematikan jiwa ketika kematian mereka, dan yang belum mati, dalam tidurnya; Dia menahan yang kepadanya Dia telah menentukan kematian, tetapi Dia mengutuskan yang lain hingga satu tempoh yang dinyatakan. Sesungguhnya pada yang demikian itu adalah ayat-ayat bagi kaum yang memikirkan" (39:42).

Orang yang mati pun menganggap kematiannya seperti tidur. Sila lihat ayat-ayat berikut:

"Dan trompet ditiupkan; kemudian tiba-tiba, mereka melongsor dari makam-makam mereka kepada Pemelihara mereka. Mereka berkata, 'Celakalah kami! Siapakah yang membangkitkan kami daripada tempat tidur kami? Inilah apa Yang Pemurah menjanjikan, dan para utusan berkata benar'" (36:51-52).

Kejutan itu berlaku pada Hari Kebangkitan atau Hari Akhirat.

Sebelum kematian datang haruslah membuat wasiat. Wasiat adalah:

1. kepada anak-anak, iaitu menyuruh mereka supaya tunduk patuh kepada Allah, seperti wasiat Nabi Ibrahim dan Yaakub kepada anak-anaknya - 2:132 dan 2:133.

2. dalam pembahagian harta yang ditinggalkan, untuk ibu bapa dan sanak saudara - 2:180, dan

3. untuk isteri atau isteri-isteri, dalam mana mereka ditinggalkan peruntukan selama setahun (sekurang-kurangnya) dengan tidak mengeluarkan mereka daripada tempat kediaman - 2:240.

Mematikan jiwa adalah tugas malaikat (6:61 dan 32:11). Bagi orang jahat seperti yang berdusta terhadap Allah, menyombongkan diri terhadap ayat-ayat Allah, mendustakan ayat-ayat Allah, menyeru selain daripada Allah, tidak percaya kepada ayat-ayat Allah, dan orang murtad, kematian mereka adalah suatu kesengsaraan. Sila renungkan ayat-ayat berikut:

"Dan siapakah yang lebih zalim daripada orang yang mengada-adakan dusta terhadap Allah, atau dia berkata, Kepada aku ia diwahyukan'; padahal tiada yang diwahyukan kepadanya, atau orang yang berkata, 'Aku akan menurunkan yang serupa dengan apa yang Allah menurunkan'? Jika kamu dapat melihat ketika orang-orang yang zalim dalam kesengsaraan kematian, dan malaikat-malaikat menjulurkan tangan-tangan mereka, 'Keluarkanlah jiwa kamu! Hari ini kamu dibalas dengan azab yang menghinakan kerana kamu mengatakan yang tidak benar terhadap Allah, dan menyombongkan diri terhadap ayat-ayat-Nya'" (6:93).

"Siapakah yang lebih zalim daripada orang yang mengada-adakan dusta terhadap Allah, atau mendustakan ayat-ayat-Nya? Mereka itu, bahagian mereka daripada Kitab akan sampai kepada mereka sehingga, apabila rasul-rasul Kami datang kepada mereka untuk mematikan mereka, mereka berkata, 'Di manakah apa yang kamu seru selain daripada Allah?' Mereka berkata, 'Mereka telah sesat (hilang) daripada kami', dan mereka menyaksikan terhadap diri-diri mereka sendiri bahawa mereka adalah orang-orang yang tidak percaya" (7:37).

"Jika kamu dapat melihat ketika para malaikat mematikan orang-orang yang tidak percaya, dengan memukul muka-muka mereka, dan belakang mereka, 'Rasalah azab yang membakar'" (8:50).

"Maka bagimanakah ia, apabila malaikat-malaikat mematikan mereka (orang murtad), memukul muka mereka dan belakang mereka?" (47:27).

Kepada orang baik pula, malaikat maut memberi salam sebelum mematikan jiwanya. Firman Allah:

"Yang malaikat-malaikat mematikan sedang mereka berkeadaan baik, dengan berkata, 'Salamun alaikum! Masuklah ke Taman kerana apa yang kamu telah buat'" (16:32).

Setelah seseorang meninggal dunia dia tidak dapat mendengar. Dia berada dalam keadaan tidar sedar. Firman-Nya:

"Kamu tidak dapat menjadikan orang yang mati mendengar, dan tidak juga kamu dapat menjadikan orang yang pekak mendengar seruan apabila mereka berpaling, berundur" (27:80).

"Tidaklah sama yang hidup dengan yang mati. Allah menjadikan mendengar sesiapa yang Dia mengkehendaki; kamu tidak dapat menjadikan orang-orang yang di dalam kubur untuk mendengar" (35:22).

Bukan sahaja mereka tidak dapat mendengar ketika diajar sejurus selepas dikebumikan, malah apa saja yang "dihadiahkan" atau "dikirim" kepada mereka supaya kehidupan mereka di alam barzakh menjadi tenteram, luas, atau terang, tidak akan sampai kepada mereka.

Ini kerana suatu tembok didirikan apabila mereka meninggal dunia. Tembok itu memisahkan mereka daripada segala sesuatu. Ia adalah daripada Allah, dan tentu sekali tidak mampu ditembusi oleh apa jua. Tembok tersebut dipanggil "barzakh" dalam bahasa al-Qur'an. Ayat yang menyebutnya berbunyi:

"Sehingga, apabila kematian datang kepada seorang daripada mereka, dia berkata, 'Wahai Pemeliharaku, kembalikanlah aku, supaya aku membuat kerja-kerja kebaikan yang aku telah meninggalkan.' Tidak, ia hanyalah satu kata yang dia mengucapkan; dan di belakang mereka ada barzakh (tembok) hingga hari mereka dibangkitkan" (23:99-100).

Terdapat dua lagi ayat yang mengandungi perkataan barzakh di dalam al-Qur'an. Kedua-duanya menunjukkan bahawa barzakh itu sedang berada di laut. Sila click di sini. Terima kasih.

Justeru itu, apa yang dikatakan alam barzakh yang diajar kepada umat sebenarnya tidak wujud. Segala cerita mengenainya termasuk cerita seksa kubur adalah hanya dongengan orang-orang agama zaman dahulu. Dan segala amalan mengenainya adalah hanya mimpi mereka yang tidak benar. Kerana Allah tidak mengajarnya di dalam al-Qur'an.

Seperkara lagi ialah ungkapan yang lazim disebut iaitu "roh orang mati". Semua amalan yang dilakukan oleh orang yang hidup untuk mereka yang berada dalam alam barzakh, kononnya, adalah untuk roh orang mati supaya mereka bahagia berada di dalam alam tersebut.

Sekali lagi, kalimat Allah dikelirukan oleh pihak-pihak tertentu. Dalam penggunaan kalimat "roh" di dalam al-Qur'an tiada satu pun yang boleh diertikan sebagai "roh orang mati". Sila lihat pada penggunaan kata itu di dalam al-Qur'an dengan click di sini.

Penulis sedar perasaan sesetengah pembaca terganggu dengan penjelasan ini. Yang benar memang pahit, namun ditelan juga.

Untuk mengakhiri huraian di sini, dipohonkan maaf serta diturunkan dua buah doa yang diajar oleh Tuhan di dalam Kitab-Nya, berbunyi:

"Wahai Pemelihara kami, kami mendengar seorang pemanggil yang memanggil kami kepada keimanan, 'Percayalah kamu kepada Pemelihara kamu.' Dan kami percaya. Wahai Pemelihara kami, ampunilah kami atas kesalahan-kesalahan kami, dan lepaskanlah kami daripada kejahatan-kejahatan kami, dan matikanlah kami berserta orang-orang yang taat" (3:193).

"Dan kamu mendendami kami hanya kerana kami percaya kepada ayat-ayat Pemelihara kami apabila mereka datang kepada kami. 'Wahai Pemelihara kami, tuangkanlah kepada kami kesabaran dan matikanlah kami dalam kemusliman'" (7:126).

Tidak ada komentar: